Assalamualikum..Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
Semalam Ramadhan yang ke 27. Jemaah di masjid semakin hari semakin berkurangan. Mungkin masing-masing mempunyai perancangan sendiri sebelum tibanya Hari Raya. Mungkin yang membezakan masjid di kampung ini dan tempat-tempat yang lain ialah terhidangnya "Halwa HATI" atau "Kullimin" untuk peringatan sesama jemaah disini. Diri ini sangat tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Imam Terawikh malam semalam.
Adullah Ibn Maktum. Diri ini kurang pasti sama ada mengenali beliau ataupun tidak Hamba Allah ini. Mungkin juga dia salah seorang sahabat Nabi S.A.W. Masih banyak ilmu yang perlu ditimba untuk saham Akhirat nanti. Siapakah dia?
Abdullah Ibn Maktum pernah meminta agar dikecualikan daripada solat berjemaah di masjid. Namun, Rasulullah s.a.w. enggan memberikan pengecualian ke atasnya memandangkan beliau masih mampu mendengari seruan azan dan mampu berjalan menuju ke masjid walaupun dalam keadaan buta.
Pada subuh pertama selepas peristiwa tersebut, berjalanlah beliau menuju ke masjid. Malangnya, dia tersungkur dan jatuh hingga menyebabkan dahinya berdarah.
Keesokan harinya, Abdullah Ibn Maklum tidak patah semangat untuk tetap menuju ke masjid. Namun, kali ini beliau dipimpin oleh seorang pemuda sehingga dia selamat tiba di masjid. Begitulah berterusan hari-hari berikutnya. Pemuda itu sentiasa hadir memimpin Abdullah Ibn Maktum.
Pada suatu hari Abdullah Ibn Maktum yang tidak dapat melihat pemuda ini kerana buta bertanya, “ Siapakah namamu wahai pemuda yang baik hati?” Pemuda tersebut enggan menjawab soalan tersebut. “Untuk apa engkau ingin mengetahui namaku? Namaku tidak penting!” Pemuda tersebut memberi alasan supaya tidak ditanya lagi.
“Aku ingin mengetahui namamu agar aku dapat mendoakanmu. Semoga Allah melipatgandakan balasan kebaikan buatmu.” Abdullah Ibn Maktum memberi alasan sebagai desakan agar pemuda itu mahu memberitahu namanya.
Malangnya pemuda itu tetap degil dengan pendiriannya sehingga mereka hampir bertengkar. Akhirnya, Abdullah Ibn Maktum terpaksa bersumpah bahawa jika pemuda itu enggan memberitahu siapakah dirinya maka Abdullah tidak mahu lagi menerima khidmat pemuda tersebut.
“Akulah Iblis!” Pemuda tersebut mula menceritakan tentang dirinya setelah Abdullah Ibn Maktum mengucapkan sumpah itu.
“Mana mungkin engkau adalah Iblis sedangkan engkau memimpinku ke masjid setiap hari.?” Abdullah tidak percaya apa yang didengarnya.
“Ingatkah engkau tentang peristiwa pertama kali terjadi ketika kamu menuju ke masjid?”
“Ya. Peristiwa itu tidak akan aku lupa. Aku jatuh tersadung batu hingga dahiku berdarah.”
“ Ketika itu aku mendengar para malaikat berkata bahawa separuh dosamu telah di ampun Allah. Oleh itu, aku takut jika peristiwa umpama itu berulang dan separuh lagi dosamu diampunkan maka tidak tersisalah dosamu!” Iblis mengakhiri kata-katanya dan menghilang.
SuhanaAllah. Istiqomahnya beliau. Jika dibandingkan dengan diri ini, jauh bezanya. Dengan keadaan surau yang jauh daripada Kolej Kediaman, perlu 'berperang' antara Nafsu dan Iman. Kadang-kadang letih dengan urusan Dunia adalah antara faktor utama untuk tidak bersama dengan teman-teman yang lain mengimarahkan surau di sana.
Ya Allah, dekatkanlah HATIku dengan tempatMU. Bimbinglah HATI ini supaya tidak tunduk kepada Hawa Nafsu semata-mata. Sedarkanlah diriku ini akan setiap azabmU jika aku terlalu mengejar Dunia yang fana ini. Aminnn...
Faqir ila Allah,
kak ngah (Fiza)


























